SANDAKAN: Komitmen berterusan dalam memperjuangkan kebajikan rakyat luar bandar terus dizahirkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, yang turun padang menyantuni masyarakat di beberapa kampung di sekitar kawasan Gum-Gum.

Dalam program khas yang berlangsung semalam, Datuk Jaffari memulakan lawatannya di Kampung Semawang, Gum-Gum, dengan menyampaikan bantuan bahan binaan berupa zink dan papan lapis kepada penduduk yang memerlukan bagi membaiki kediaman mereka yang uzur.
Beliau turut menyempurnakan agihan 60 bakul makanan kepada penduduk terpilih sebagai usaha meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah di kawasan itu.
“Program seperti ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi cerminan kasih dan tanggungjawab kita terhadap rakyat. Kita mahu pastikan tiada golongan yang tercicir,” tegasnya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Selesai di Semawang, Jaffari meneruskan kunjungan ke Kampung Bim-Bim, meninjau dan meneliti secara langsung beberapa aduan serta permasalahan penduduk yang telah dikemukakan kepada pejabat beliau.
“Saya ambil maklum setiap aduan yang disampaikan. Insha-Allah, kita akan teliti satu persatu dan bawa perkara ini ke peringkat agensi berkaitan untuk tindakan segera dan berkesan,” katanya yang turut memberi jaminan usaha susulan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Sehari sebelumnya, Jaffari turut mengadakan program khas di Kampung Sungai Beruang, di mana beliau menyampaikan bantuan material bagi kegunaan naik taraf dewan serbaguna kampung, sekali gus menyokong pembangunan infrastruktur asas di kawasan berkenaan.
Program turun padang ini jelas memperkukuh tekad kepimpinan negeri dalam memartabatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman yang sering berdepan dengan cabaran kemudahan dan akses pembangunan.
“Ia juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri menerusi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya dan agenda Sabah First yang menekankan pendekatan inklusif, proaktif serta berpaksikan rakyat.
“Selagi diberi amanah, saya akan terus berada di tengah-tengah rakyat, mendengar dan bertindak,” ujar Jaffari penuh semangat.- pr/BNN