TENOM: Seramai 50 ahli Koperasi Kakitangan Perkhidmatan Pendidikan Sabah Berhad (KO-PELAJARAN) Bahagian Keningau dijangka menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan pada 26 Julai ini di Dewan Tai Chi, Tenom.

Mesyuarat bermula jam 8.30 pagi itu akan menyaksikan pemilihan lima perwakilan ke Mesyuarat Agung Pusat, mewakili empat daerah utama – Keningau, Tambunan, Nabawan dan Tenom.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Koperasi Bahagian Keningau, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, mesyuarat akan dipengerusikan oleh Encik Gulam Hussein Hj Mohd Shaffie yang juga Ahli Lembaga Pengarah merangkap Pengerusi Perhubungan Bahagian.

Turut dijangka hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah KO-PELAJARAN, Datuk Dr Hj Sairin Hj Karno bersama beberapa ahli lembaga lain.

“Saya menyeru semua ahli hadir lebih awal bagi memudahkan urusan pendaftaran dan memastikan kelancaran mesyuarat,” katanya.

Mesyuarat dijangka membincangkan hala tuju koperasi, perkembangan semasa serta usaha memperkukuh kebajikan warga pendidik di Sabah.-pr/BNN