KOTA KINABALU: Dalam usaha memperkukuh jaringan pendidikan tinggi serantau, Universitas Pancasila (UP), Indonesia hari ini secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama University College Sabah Foundation (UCSF), Malaysia dalam satu majlis di Kota Kinabalu.
Penandatanganan MoU tersebut dilakukan oleh Dekan Fakultas Ekonomi dan Bisnis UP, Dr. Harnovinsah, C.A, dan Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris, sebagai komitmen bersama untuk menggerakkan pelaksanaan Tridharma Pendidikan Tinggi, khususnya dalam aspek pertukaran pelajar (student mobility), penyelidikan kolaboratif, serta pengembangan program Kampus Berdampak. Majlis ini turut dihadiri oleh Datuk Mohd Yaakub Hj Johari, Pengerusi Lembaga Pengarah UCSF serta pegawai utama universiti.
“Kolaborasi ini bukan sekadar upacara formal, tetapi komitmen untuk membina hubungan rentas negara yang progresif, inovatif dan menjawab cabaran global bersama,” kata Dr. Harnovinsah dalam ucapannya.
Beliau turut menzahirkan rasa penghargaan terhadap UCSF yang disifatkan sebagai institusi ternama dalam bidang sains kesihatan, penyelidikan serta perkhidmatan masyarakat.
Dalam itu, Naib Canselor UCSF, Datuk Dr Rafiq berkata UCSF komited dalam memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat melibatkan kedua-dua institusi. Banyak yang boleh kita saling pelajari, manfaatkan dan kongsikan antara satu sama lain.
Majlis itu turut diserikan dengan Seminar Antarabangsa Belia, Keusahawanan dan Inovasi: Perspektif Malaysia–Indonesia, yang menghimpunkan akademia dan pemikir muda dari kedua-dua negara dalam forum ilmiah terbuka.
Seminar tersebut menampilkan Dr. Erwin Permana, Timbalan Dekan II FEB UP yang juga ketua mata kuliah Entrepreneurship, dan Siti Rahma, pensyarah UCSF. Sementara itu, Najmi Abdullah, Dekan Fakulti Pengurusan & Keusahawanan UCSF, telah memberi ucaptama di awal seminar antarabangsa tersebut.
Perbincangan ilmiah ini menyoroti keperluan memperkukuh kerjasama serantau dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif, lestari dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
Kedua-dua institusi menyatakan komitmen untuk tidak hanya melahirkan graduan yang cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga yang berdaya saing tinggi dan mampu memberi sumbangan nyata kepada pembangunan sosioekonomi di rantau Asia Tenggara.
MoU yang dimeterai ini dijangka menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang pendidikan tinggi, inovasi dan pembangunan insan sejagat.-pr/BNN