KENINGAU: Prihatin terhadap keperluan rakyat luar bandar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terus menyalurkan bantuan bagi meningkatkan kemudahan dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.
Menerusi wakilnya, Pemaju Mukim Patikang, Zailani Abdullah, dua sumbangan diserahkan kepada komuniti Kampung Agudon dan Ponindukan.
Kampung Agudon menerima sumbangan bagi kerja penyenggaraan jambatan gantung secara gotong-royong, manakala Kampung Ponindukan mendapat sokongan untuk penganjuran Majlis Perasmian Gereja Baharu Sto St. James Rasul – simbol keharmonian masyarakat berbilang agama.
Majlis penyerahan di Pejabat UPPM Liawan disaksikan penduduk setempat, termasuk Pengerusi JKKK Kampung Agudon, Fredi Garou yang menzahirkan penghargaan atas keprihatinan wakil rakyat itu.
“Ini bukan sekadar sumbangan, tetapi jambatan harapan, keselamatan dan kemajuan,” katanya.
Annuar melalui inisiatif Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) terus komited memperjuangkan agenda rakyat – dari aspek agama, sosial dan infrastruktur – tanpa menunggu musim pilihan raya.-pr/BNN