KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkasa sektor industri kreatif tempatan sebagai pemacu baharu ekonomi dan pemangkin pembangunan naratif budaya Borneo ke persada nasional serta antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri melalui Pelan Induk Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi digital dan industri berasaskan pengetahuan, termasuk kandungan kreatif.
Katanya, beberapa usaha sedang giat dijalankan untuk menaik taraf fasiliti kreatif serta menyokong pusat latihan dan inkubator kandungan di Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan, yang akan diselaraskan melalui kerjasama erat dengan agensi Persekutuan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menyediakan Dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk menyokong industri kreatif tempatan.
“Dana ini penting untuk membantu penggiat seni dan produksi menghasilkan kandungan beridentitikan Sabah, sekali gus mengangkat cerita rakyat, sejarah dan kepelbagaian bahasa sukuan kepada khalayak lebih luas,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sabah di Hotel Promenade pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.Hajiji berkata, DKK yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Komunikasi dan FINAS membuka ruang luas kepada rakyat Sabah untuk mengetengahkan kisah, budaya dan warisan mereka melalui pelbagai medium seperti filem, dokumentari dan program televisyen.
“Sabah memiliki kepelbagaian sosiobudaya yang luar biasa – dengan lebih 30 etnik dan lebih 200 sub etnik. Ini menjadikan negeri ini antara wilayah terkaya dari segi budaya lisan, visual dan naratif, yang wajar diberi perhatian sebagai sumber kandungan autentik.
“Malah, keindahan semula jadi Sabah sama ada di darat, laut mahupun pergunungan turut memberi kelebihan besar untuk diterjemahkan dalam kandungan kreatif yang mampu menarik perhatian penonton tempatan dan luar negara,” katanya.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta warga kementerian itu dan FINAS atas kesudian memilih Sabah sebagai lokasi penganjuran program berimpak tinggi itu.
Beliau menyifatkan penganjuran itu sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk memperluas ekosistem kreatif negara di luar Lembah Klang, selain mengiktiraf potensi Sabah dan Sarawak bukan sekadar lokasi penggambaran tetapi sebagai pusat penciptaan kandungan bernilai tinggi.
“Inisiatif seperti Dana Program TV (Borneo) dan Dana Dokumentari bersama BORNEO TV adalah langkah strategik yang meletakkan Borneo sebagai jantung kepada kandungan yang segar dan asli. Kita mahu melihat lebih banyak karya kreatif yang lahir dari bumi Borneo – bukan sahaja untuk Malaysia, malah untuk dunia,” katanya.
Hajiji turut memuji pencapaian anak muda Sabah dalam penghasilan karya-karya berkualiti menerusi platform seperti Sabah Film Lab, Mini Film Fest, dan Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) yang berjaya menarik perhatian penonton dan juri di dalam dan luar negara.
“Saya menyeru lebih ramai anak muda khususnya dari luar bandar supaya berani mencuba dan memanfaatkan peluang dana ini. Kisah kampung halaman, sejarah keluarga dan budaya tempatan boleh menjadi karya besar jika diterjemah dengan baik,” katanya.
Hajiji juga menyeru agar kandungan kreatif dimanfaatkan sebagai jambatan perpaduan, inspirasi pembangunan dan cerminan budaya Sabah dalam kerangka Malaysia MADANI.-pr/BNN