KOTA KINABALU: Gambar tular membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Setiausaha Syarikat Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) menaiki jet peribadi milik sebuah syarikat perlombongan terkemuka Indonesia tidak menggambarkan sebarang pelanggaran tatakelola atau salah laku seperti didakwa pihak pembangkang.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata isu berkenaan sengaja digembar-gemburkan oleh pembangkang untuk memburukkan reputasi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan kepemimpinan SMM.
“Dari sudut norma tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, perkara ini bukanlah satu kesalahan. Ia langsung tidak menyalahi mana-mana peraturan syarikat mahupun Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan pembangkang itu tidak lebih sekadar cubaan meraih perhatian dan mencipta persepsi negatif dalam kalangan rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
“Mereka seolah-olah menganggap rakyat Sabah ini mudah dipengaruhi dan diperbodohkan. Setiap detik mereka akan cari bahan kontroversi, walaupun tiada asas,” katanya.
Aksyah yang juga Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, turut mempersoalkan motif aktivis politik dari Semenanjung yang turut memetik isu berkenaan bagi menangguk di air keruh.
“Kita hairan kenapa golongan ini tiba-tiba begitu prihatin. Adakah untuk menonjolkan diri di mata kepimpinan parti masing-masing menjelang PRN? Atau mahu menggambarkan bahawa pemimpin mereka di Sabah suci tanpa cela?” soalnya.
Beliau berkata, pihak yang ghairah membangkitkan isu ini mungkin sebenarnya biasa melakukan sesuatu yang lebih buruk semasa berada dalam tampuk kuasa.
“Sepanjang mereka mentadbir, berapa banyak GLC negeri yang mencatat keuntungan? Kebanyakannya rugi. Jadi tidak perlulah berselindung di sebalik ‘perjuangan integriti’ yang tidak konsisten,” katanya.
Justeru, Aksyah menyeru rakyat Sabah agar lebih berwaspada terhadap dakyah dan naratif pembangkang yang berunsur fitnah serta menjurus kepada kepentingan politik semata-mata.
“Rakyat harus sedar, ada pihak yang cuba bermain persepsi dan mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka sendiri. Sedangkan hakikatnya, mereka juga tidak terlepas daripada isu integriti,” tegasnya.-pr/BNN