KENINGAU: Penduduk Kampung Minansut, Bingkor kini menikmati kemudahan dapur kampung di dewan terbuka dan jalan konkrit baharu sepanjang 100 meter yang siap sepenuhnya, hasil inisiatif Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey G Kitingan.

Dua projek kecil berimpak besar itu dibiayai menerusi peruntukan khas Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.

Pengerusi JKKK Kg Minansut, Mahuni Gawali mewakili penduduk menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pemimpin tersebut.

“Dapur kampung ini melengkapkan dewan serbaguna yang sering menjadi lokasi kenduri, gotong-royong dan pelbagai program komuniti. Jalan konkrit pula amat penting bagi kemudahan dan keselamatan pergerakan penduduk,” katanya.

Turut hadir meninjau pelaksanaan projek ialah Ketua Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Keningau, Lectus Fung serta Pegawai Penyelaras DUN Bingkor, Johari Pongod yang memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi dan keperluan penduduk.

Projek berkenaan bukan sekadar menaik taraf infrastruktur, malah menjadi simbol kepedulian Dr Jeffrey terhadap kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi. – pr/BNN