KENINGAU: Koperasi Kakitangan Perkhidmatan Pelajaran Sabah Berhad (KO-PELAJARAN) terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan ahlinya apabila menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada keluarga mendiang Cikgu Lucas Leong, sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau semasa hayatnya.
Sumbangan disampaikan oleh wakil KO-PELAJARAN, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, kepada anak mendiang, Puan Betty Leong yang juga Pengetua Sekolah Menengah St. Francis Xavier (SFX) Keningau, dalam satu kunjungan mesra ke kediaman keluarga berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Yazid, sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan KO-PELAJARAN dalam menjaga kebajikan ahlinya, termasuk membantu waris yang ditinggalkan ketika berdepan saat kehilangan.
“KO-PELAJARAN sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan ahli dan keluarga mereka, selaras dengan prinsip koperasi yang mengutamakan kesejahteraan bersama,” katanya.
Sementara itu, Betty menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan keprihatinan yang diberikan.
“Kami sekeluarga amat terharu dan berterima kasih atas sokongan moral dan bantuan yang meringankan beban kami,” ujarnya.
KO-PELAJARAN kekal komited memperkasakan peranan sosialnya demi memastikan setiap ahli dan waris menerima perhatian sewajarnya, terutamanya dalam waktu memerlukan.-pr/BNN