KENINGAU: Pengumuman ekonomi oleh Perdana Menteri X, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disambut penuh syukur dan sokongan oleh penduduk luar bandar termasuk di Kampung Sandapak, Bingkor.

Pengerusi JKKK Sandapak, Rayner Adrian Eswar Munting, dan Ketua Kampungnya, Ambrus Enggu Ungkiu Singgon, menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai bantuan rakyat sebagai bukti komitmen membela nasib golongan terpinggir.

“Bantuan tunai RM100 melalui MyKad serta peningkatan peruntukan STR dan SARA kepada RM15 bilion membuktikan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat,” kata mereka ketika ditemui.

Mereka turut menghargai keputusan mengekalkan subsidi bersasar RON95, penurunan tarif elektrik sehingga 14 peratus, dan langkah penangguhan kenaikan tol 10 lebuh raya utama.

“Penduduk luar bandar amat merasai beban kos hidup. Bantuan langsung seperti ini benar-benar membantu,” tambah mereka.

Beberapa inisiatif utama diumumkan PMX turut menarik perhatian, antaranya:

RM600 juta bagi Jualan Rahmah MADANI – dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Kadar gaji minimum RM1,700 mulai 1 Ogos 2025.

Pelancaran Sejahtera MADANI bantu miskin tegar melalui kerjasama kerajaan dan korporat.

4,352 jawatan kesihatan termasuk doktor kontrak akan diisi menjelang hujung tahun.

Ringgit mengukuh ke paras RM4.23 – antara lima terbaik di Asia.

Rayner dan Ambrus turut memuji prestasi ekonomi negara yang terus mencatat pelaburan tinggi dan pemulihan kukuh pasca pandemik.

“Pelaburan RM384 bilion yang diluluskan pada 2024 adalah tertinggi dalam sejarah. Ini bukti hala tuju negara kini lebih jelas dan inklusif,” kata mereka.

Mereka percaya langkah kerajaan menyusun semula subsidi secara bersasar mampu memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan tanpa pembaziran.

“Kami berdiri teguh di belakang kepimpinan negara yang berusaha membawa Malaysia keluar dari belenggu ekonomi dan sosial,” ujar mereka.-pr/BNN