KENINGAU: Impian Rycheale Jerinus untuk menjadi jururawat semakin hampir menjadi kenyataan selepas menerima sumbangan ikhlas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman bagi memulakan pengajian Diploma Kejururawatan di Kolej Cyberjaya, Kota Kinabalu.

Sumbangan disampaikan oleh Pemaju Mukim Lingkudau, Noritah Melvina Dungkian mewakili Annuar, dalam satu pertemuan ringkas di Pejabat UPPM Liawan. Ia diterima ibu Rycheale, Elmy Jos yang terharu atas keprihatinan pemimpin berjiwa rakyat itu.

“Kami tidak meminta banyak, tapi bila ada pemimpin yang sudi membantu, ia amat menyentuh hati,” kata Elmy.

Bagi Annuar, bantuan pendidikan adalah pelaburan masa depan dan tanggungjawab bersama, bukan hanya dipikul keluarga, tetapi turut digalas oleh pemimpin yang prihatin.

“Politik bukan sekadar ucapan dan pentas – ia tentang mendengar, menyantuni dan berkhidmat dengan jiwa,” katanya.

Rycheale hanyalah seorang daripada ramai anak muda luar bandar yang mendapat perhatian kepimpinan Annuar – bukti bahawa keprihatinan tidak perlu diumum, cukup ia dirasai rakyat.-pr/BNN