KENINGAU: Suasana Kampung Toboh Baru meriah dengan kehadiran anak muda dalam Program Santai Belia Wiramuda & Wiramaja anjuran Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Liawan, yang berjaya menyatukan komuniti dan mengangkat semangat belia sebagai penggerak pembangunan.
Program santai namun bermakna itu diketuai Ketua Wiramuda STAR Liawan, Micheal Tambi, di bawah bimbingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Ia mencerminkan komitmen slogan “Liawan Terurus, Liawan Maju” yang digerakkan dengan tenaga dan semangat generasi muda.
Daripada sesi bual santai di bawah pokok mangga hingga perbincangan santai di dewan kampung, pendekatan mesra belia ini mendapat sambutan hangat penduduk, yang menyifatkannya sebagai “onsoi” – istilah Murut yang bermaksud bagus.
“Kami bangga lihat anak muda berani turun padang, menyatu dengan masyarakat,” kata seorang warga emas yang hadir.
Lebih daripada sekadar aktiviti hujung minggu, program ini membuktikan bahawa belia Liawan tidak sekadar menunggu peluang, tetapi tampil memimpin, menyelami realiti rakyat dan menjadi agen perubahan di tanah sendiri. – pr/BNN