KOTA KINABALU: Isu Ambalat tidak wajar dijadikan alat mainan politik oleh pihak pembangkang yang cuba menanam sentimen negatif terhadap kerajaan negeri, tegas aktivis politik dan mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah.
Menurut beliau, usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memperjuangkan kepentingan Sabah termasuk dalam isu Zon Pembangunan Bersama (Joint Development Zone) membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negeri ini.
“Sudah terang lagi bersuluh, Hajiji seorang pemimpin patriotik yang cintanya terhadap Sabah tidak pernah luntur.
“Janganlah pembangkang terus memanipulasi isu ini dan mempermainkan perasaan rakyat seolah-olah kerajaan negeri dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdiam diri dalam hal Ambalat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah menegaskan bahawa penyertaan Ketua Menteri dalam rundingan dan pemeteraian perjanjian Zon Pembangunan Bersama antara Malaysia dan Indonesia adalah bukti jelas Sabah tidak pernah dipinggirkan dalam hal berkaitan sempadan dan kepentingan wilayah.
“Bukti apa lagi yang pembangkang mahukan? Isu sempadan bukan semata-mata tentang sentimen, tetapi menuntut kebijaksanaan diplomasi dan perundingan secara rasmi antara negara,” ujarnya.
Tambahnya, apa yang lebih utama adalah hasil daripada rundingan itu haruslah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah dari segi pembangunan, keselamatan dan kemakmuran wilayah timur negeri itu.
“Sudah tiba masa untuk semua pihak memberi ruang kepada kerajaan untuk meneruskan pendekatan yang bijaksana dan berhenti mengheret isu kompleks seperti Ambalat ke dalam kancah retorik politik murahan,” tegasnya.-pr/BNN