KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menegaskan bahawa tiada sebarang lesen mencarigali dikeluarkan kepada Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd di bawah Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960).

Pengarah Tanah dan Ukur merangkap Ketua Merinyu Galian Sabah, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min, dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan rasmi kepada syarikat terbabit untuk menjalankan aktiviti pencarigalian di mana-mana lokasi di negeri ini.

“Sehubungan itu, segala bentuk kenyataan, promosi atau tindakan yang mengaitkan syarikat Bumi Suria Sdn Bhd dengan pemilikan lesen mencarigali adalah tidak berasas dan boleh mengelirukan orang awam,” katanya.

Menurut beliau, semua aktiviti pencarigalian mineral di Sabah hanya boleh dijalankan selepas memperoleh lesen sah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 6 dan 8 Ordinan Perlombongan Sabah 1960, selain mematuhi syarat teknikal dan perundangan berkaitan.

Jabatan itu turut memandang serius sebarang kenyataan awam melalui media yang boleh menimbulkan kekeliruan atau menyebarkan maklumat tidak tepat kepada masyarakat.

“Orang awam diingatkan agar merujuk kepada pihak berkuasa perlombongan negeri bagi mendapatkan maklumat sah dan tepat berkaitan sebarang aktiviti melibatkan sumber mineral di Sabah,” katanya.-pr/BNN