TUARAN: Kehadiran lebih 100 pelayar dan 29 kapal layar dari 16 negara sempena Dalit Bay Nautica ini adalah bukti bahawa Sabah sedang dilihat dan dihargai oleh dunia untuk destinasi pelayaran, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berharap pelancongan nautika seperti ini akan menjadi salah satu daya tarikan atau aktiviti pelancongan utama dalam masa terdekat di negeri ini.

“Sabah menawarkan pelbagai pengalaman berlayar dan sebenarnya terdapat potensi untuk menjadi destinasi pelayaran memandangkan kita mempunyai pantai yang menarik dan bersih.

“Saya yakin pelancongan nautika atau aktiviti rekreasi pelayaran juga akan berpotensi membawa pengunjung ke Sabah sekali gus mampu menjana limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Justeru, kita perlu memanfaatkan prospek aktiviti pelayaran itu memandangkan lokasi negeri ini yang mempunyai kelebihan dan banyak laluan air.

Seperti Pantai Dalit ini, dengan memiliki pantai yang memukau, kepelbagaian budaya yang ada, dan lokasi strategik berhadapan Laut China Selatan, kawasan ini memiliki potensi besar sebagai destinasi pelancongan kelas dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Dalit Bay Nautica 2025 di sini, pada Jumaat.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.

Ketua Menteri berkata acara ini juga sudah pasti akan membantu meningkatkan pelancongan, mempromosikan warisan budaya, dan merangsang aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Ini sudah pasti akan meletakkan negeri Sabah pada peta pantai global dan menjadi satu petanda yang baik dalam meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini.

Sudah pasti acara ini akan membantu mempelbagaikan lagi tarikan pelancongan sekali gus dapat membantu kita mencapai sasaran 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini.

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, Sabah mempunyai segala-galanya untuk ditawarkan dari lautan yang dalam hingga ke gunung yang tinggi.

Ini menjadikan Sabah adalah di antara destinasi pelancongan bertaraf dunia. “Keindahan dan kekayaan flora serta fauna dan keajaiban alam semula jadi seperti lautan serta kepulauannya dan gunung-ganang serta hutan simpannya adalah khazanah alam yang dinikmati dan dikagumi ramai,” katanya.-pr/BNN