KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Tenom, Riduan bin Rubin menyuarakan kebimbangan dan tuntutan tegas berhubung isu tanah adat masyarakat Murut di Tenom, khususnya melibatkan kawasan sekitar Ladang SD Guthrie di Sapong yang masih tidak diiktiraf sebagai hak milik sah komuniti asal.
Dalam perbahasan ke atas Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur semalam, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang atas usaha mengembalikan 15,000 hektar tanah adat bekas milik Sabah Forest Industries (SFI) kepada masyarakat Murut di Tenom, Kemabong dan Sipitang.
“Langkah ini bukan sahaja menamatkan penantian puluhan tahun, malah melakar sejarah baharu dalam perjuangan hak tanah adat di Sabah,” katanya.
Mengimbas kembali sejarah penjajahan British melalui Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB), beliau mendedahkan bagaimana tanah-tanah subur masyarakat Murut dirampas dan komuniti mereka dieksploitasi sebagai buruh paksa serta dikenakan cukai zalim seperti cukai kepala dan cukai tapai.
“Moyang saya sendiri, iaitu Aki Pulangga bin Sahoh bersama Ontoros Antanom telah bangkit melawan penindasan ini. Ramai yang terkorban dan yang terpaksa berhijrah ke Pensiangan dan Kalimantan,” jelas beliau.
Riduan turut menyatakan bahawa tanah-tanah yang dulunya dirampas kini dimiliki oleh syarikat-syarikat besar seperti Sime Darby dan SD Guthrie.
Menurutnya, walaupun syarikat-syarikat ini telah dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia pasca Serangan Subuh 1981, namun masih ramai bekas pekerja ladang Murut dan Lundayeh tidak memiliki rumah sendiri meskipun telah berkhidmat berpuluh tahun.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan SD Guthrie untuk mengembalikan tanah perkampungan sekitar ladang Sapong yang tidak diusahakan kepada komuniti asal dan memberikan sebahagian tanah ladang yang kosong (sekitar 500 ekar) untuk dijadikan tapak perkampungan bagi para pekerja dan bekas pekerja serta mengadakan rundingan rasmi antara kerajaan negeri, syarikat ladang dan komuniti Orang Asal.
Sebagai penyelesaian jangka panjang, Riduan mencadangkan penubuhan Majlis Penyelarasan Tanah Adat Sabah (MAPTAS)sebuah badan berautoriti tinggi yang merangkumi wakil Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Mahkamah Anak Negeri, Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Perhutanan.
Beliau juga menyeru semakan ke atas Ordinan Tanah Sabah dan pindaan terhadap Kanun Tanah Negara bagi memasukkan definisi menyeluruh tanah adat termasuk tapak warisan, penggunaan tradisi dan kawasan spiritual.
“Penjajah pernah berniat melenyapkan Kaum Murut daripada bumi Sabah. Namun, hari ini suara kami bergema dalam Dewan Rakyat. Kami tidak akan berhenti selagi hak kami belum dikembalikan sepenuhnya,” tegas beliau.-pr/BNN