KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengulangi keyakinannya terhadap sokongan rakyat Sabah untuk memilih semula Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan rekod pencapaian yang baik dipamerkan kerajaan negeri diterajui GRS sepanjang lima tahun mentadbir dan membina asas yang kukuh untuk negeri ini.

“Ketika membentuk kerajaan hampir lima tahun lalu, kita memulakan langkah dan persiapan dengan tekad dan visi yang jelas. Bagai seorang arkitek yang membina mahligainya dengan tiang seri dan asas yang kukuh.

“Demikianlah kita membina rumah kita ini dengan asas yang sama, bermula dari aspirasi dan citarasa golongan akar umbi dengan semangat tempatan atau parti lokal yang kental! Kita bukan menjanjikan bulan dan bintang tetapi kita berjanji untuk melakukan yang terbaik demi kepentingan seluruh rakyat.

“Saya yakin, rakyat bijak menilai siapa yang terbaik untuk diangkat sebagai kerajaan selepas PRN17 nanti dan saya juga yakin, dengan rekod pencapaian yang baik dipamerkan kerajaan negeri sekarang ini, rakyat akan memilih semula GRS untuk memerintah Sabah, lima tahun yang akan datang.

“InsyaAllah, segala perancangan pembangunan dapat diteruskan dan direalisasikan demi kesinambungan pentadbiran dan kejayaan yang berterusan,” katanya dalam ucapan dasarnya sempena Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS itu mengakui PRN17 bakal menjadi medan paling kritikal bagi gabungan itu, selain peluang terbaik untuk memperoleh mandat rakyat ke arah membentuk sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil.

Katanya, pelan pembangunan yang dirancang bukan sekadar slogan, tetapi sudah menampakkan hasil nyata dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang positif dan memerlukan mandat besar daripada rakyat untuk memastikan ia dapat diteruskan.

Beliau menegaskan bahawa PRN17 adalah peluang yang tidak boleh dianggap sebagai pilihan raya biasa-biasa kerana ia membabitkan soal tanggungjawab yang akan menentukan nasib masa depan negeri dan generasi akan datang.

“Kemenangan GRS akan memberi kita suara yang lebih besar dalam usaha dan ikhtiar kita membangunkan Sabah. Kita akan mempunyai kedudukan yang lebih teguh untuk menuntut dan mempertahankan hak Sabah.

“Sebaliknya, jika kita gagal membentuk kerajaan, maka kita mensia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan kuasa politik tempatan sebagai teraju utama politik Sabah.

“Tidak mustahil, segala dasar serta perancangan yang sedang berjalan dengan begitu baik pada ketika ini akan berubah dan dibatalkan sebagaimana yang berlaku sebelum ini dan yang menjadi mangsa adalah rakyat, yang rugi adalah negeri Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan GRS sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk memenuhi mandat rakyat pada pilihan raya negeri yang lalu dengan menunaikan janji yang mampu dilakukan demi rakyat negeri ini.

Sementara itu, Hajiji meminta seluruh jentera Gagasan Rakyat bermula dari pimpinan tertinggi, sayap Wanita, Pemuda, Beliawanis, hingga ke akar umbinya turun ke gelanggang PRN17 bagi menawan hati rakyat, khususnya anak muda.

“Bekerjalah bersungguh-sungguh demi parti tercinta! Gunakan masa yang ada untuk terus mendekati rakyat. Dengarlah denyut nadi mereka, selami keperluan mereka dan buktikan bahawa Gagasan Rakyat bukan sekadar nama.

“Sudah tiba masa untuk kita turun ke gelanggang perjuangan dengan semangat yang membara, dengan keyakinan yang tidak tergoyah, demi memperjuangkan nasib rakyat dan masa depan negeri Sabah tercinta.

“InsyaAllah, ‘god willing’, kita akan menang dalam pilihan raya ini dan kembali mendapat mandat rakyat Sabah yang lebih besar, lebih segar, lebih bermakna dan lebih bergaya,” katanya.-pr/BNN