KENINGAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman menegaskan komitmennya untuk terus membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang, termasuk komuniti Bugis yang sekian lama menyumbang kepada pembangunan kawasan.
Berucap pada Majlis Santai Bersama Komuniti Bugis di Dewan Serbaguna Kampung Banjar, Annuar membentangkan pencapaian penggal perkhidmatan beliau, antaranya pembinaan jalan konkrit, baik pulih sistem perparitan, surau baharu, bantuan khairat kematian serta pelantikan pemimpin muda daripada komuniti Bugis sendiri.
“Dulu mereka dipinggir, kini kita beri tempat. Ini bukan perjuangan berlandas janji, tapi yang sudah dibuktikan dengan kerja,” katanya disambut tepukan hadirin.
Majlis turut diserikan dengan semangat kekeluargaan dan perpaduan, selari dengan mesej dalam lagu tradisional Bugis Sipakario-rio, yang membawa maksud “kita saling menguatkan, saling menghormati.”
Annuar turut menyeru agar nilai solidariti diperkukuh demi kemajuan dan kesejahteraan bersama di Liawan. – pr/BNN