KOTA KINABALU: Seorang pemimpin kanan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak laporan yang disiarkan akhbar The Star berhubung dakwaan kononnya beberapa pemimpin komponen itu terkejut dengan pengumuman kerjasama pilihan raya antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).

Bendahari Agung GRS, Ardino Diris menyifatkan laporan yang hanya bersandarkan sumber tidak dinamakan sebagai cubaan menggugat kestabilan dan perpaduan dalaman GRS.

“Adalah tidak wajar dan tidak beretika untuk mengeluarkan laporan berasaskan sumber yang enggan dikenali, seolah-olah mewakili pendirian keseluruhan gabungan. GRS sentiasa mengamalkan musyawarah dan perbincangan dalam membuat keputusan penting, termasuk soal kerjasama pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bahawa kerjasama dengan PH telah dibincangkan adalah tepat dan berasaskan realiti semasa perbincangan dalaman GRS.

“Sebagai sebuah gabungan yang matang, GRS tidak akan membuat sebarang pengumuman besar tanpa melalui proses perbincangan strategik bersama kepimpinan gabungan.

“Justeru, mana-mana pandangan peribadi yang disuarakan tanpa nama tidak mencerminkan pendirian rasmi parti-parti komponen,” katanya.

Tambah beliau, GRS tidak tunduk kepada tekanan luar, sebaliknya berpegang kepada kepentingan rakyat dan kestabilan politik Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan. Kerjasama strategik dengan PH adalah demi memastikan Sabah terus dipimpin oleh kerajaan yang stabil, inklusif dan progresif. Perpecahan hanya akan merugikan rakyat,” tegasnya.

Mengulas dakwaan bahawa beberapa parti seperti Sabah STAR, PBS, SAPP dan Usno lebih cenderung mahu GRS bertanding secara solo, Ardino berkata perbezaan pandangan dalam politik adalah biasa, namun semua parti kekal dalam semangat muafakat GRS.

“GRS tidak pernah menghalang pandangan berbeza. Namun apabila keputusan bersama sudah dicapai, semua pihak harus akur dan memberi sokongan sepenuhnya untuk kejayaan bersama,” ujarnya.

Pada Ahad, Hajiji yang juga Ketua Menteri mengumumkan bahawa satu persefahaman telah dicapai antara GRS dan PH bagi menghadapi PRN ke 17, sebagai langkah memperkukuh blok kerajaan sedia ada yang stabil dan diyakini rakyat.

GRS yang diterajui Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut disertai PBS, STAR, SAPP, Usno, PCS, LDP dan Parti Harapan Rakyat Sabah, manakala PH Sabah dianggotai PKR, DAP, UPKO dan Amanah.-pr/BNN