KENINGAU : Suasana penuh emosi menyelubungi majlis perpisahan Puan Analyn Rendon Somoso yang diadakan di Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Pekan Keningau, sebagai penghormatan atas sumbangannya dalam pelayanan wanita selama lebih 30 tahun.

Majlis anjuran Pelayanan Wanita Daerah Keningau (Wilayah 7) itu dihadiri Pastor Daerah, Pastor Syeborn Bukah dan isteri, serta ahli gereja dan komuniti pelayanan wanita setempat.

Analyn, yang bakal kembali ke Filipina, dikenang sebagai individu berdedikasi dan menjadi tunjang utama dalam memperkukuh peranan wanita dalam kerja-kerja pelayanan.

Pengerusi penganjur, Diakonese Rose Mary Gitang, menyifatkan beliau sebagai “penyokong kuat pelayanan, berdisiplin dan penuh semangat positif”.

Ucapan penuh haru disampaikan oleh Analyn sendiri yang mengenang permulaan pelayanannya di gereja itu sejak dibaptis di SDA Keningau, menyifatkan komuniti di situ sebagai “keluarga sebenar”.

Majlis turut diserikan dengan kejutan sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-55, disusuli doa khas oleh Pastor Syeborn.

Suami beliau, Encik Alain Maghuyop Somoso, turut diberi penghargaan atas sumbangannya membina bangunan gereja dan rumah di Sabah – bukan sekadar dengan kepakaran, tetapi dengan hati yang melayani.

“Beliau membina harapan, bukan hanya bangunan,” kata Rose Mary, disambut linangan air mata hadirin.

Majlis diakhiri dengan renungan rohani dan jamuan kasih, melambangkan ikatan persaudaraan yang kekal meskipun jarak memisahkan.-pr/BNN