KENINGAU: Suasana pagi di Keningau diserikan dengan kehadiran Pengerusi Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) Liawan, YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, yang turun padang menyertai program senaman pagi bersama komuniti setempat.
Program berkonsepkan kesihatan dan kebersamaan itu dianjurkan hasil kerjasama MUTIARA GRS Liawan, Wiranita STAR N.41 Liawan dan kumpulan Morning Line Dance yang dikendalikan oleh jurulatih, Norjan, bertujuan mempromosi gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan sosial antara penduduk.
Kehadiran aktif Tengku Adlina dalam program berkenaan bukan sahaja mencerminkan kepimpinan wanita yang mesra rakyat, malah membawa mesej bahawa pemimpin wanita harus terus mendampingi komuniti secara langsung, bukan sekadar berperanan di sebalik tabir.
Menurut penganjur, program sebegini memberi impak menyeluruh, bukan sekadar kepada kecergasan fizikal, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan mental dan emosi masyarakat dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
“Gabungan aktiviti fizikal dan interaksi sosial mampu memperkukuh semangat perpaduan serta membentuk komuniti yang lebih sihat, ceria dan saling menyokong,” kata mereka.
Usaha ini selari dengan aspirasi kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang sentiasa menekankan nilai perpaduan, kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat di kawasan yang diwakilinya.-pr/BNN