KOTA KINABALU: Penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan langkah berani untuk memastikan kuasa politik Sabah tidak terus terbelenggu di bawah telunjuk luar, sebaliknya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi rakyat negeri ini.
Aktivis politik pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah berkata, GRS ditubuhkan dengan semangat memperjuangkan autonomi sebenar Sabah dan menamatkan budaya ‘tunggu restu’ dari pemimpin pusat yang selama ini mengekang kemajuan politik anak tempatan.
“GRS adalah penzahiran kesedaran politik bahawa maruah dan kuasa Sabah mesti ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri. Jika kita masih dikawal oleh ‘Master’ dari luar, apa ertinya menjadi pemimpin di tanah air sendiri?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tidak pernah menjadi ‘ciptaan politik luar’ seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya memiliki pengaruh tersendiri yang menjadi kekuatan utama kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16.
“Tanpa Hajiji dan barisan kepimpinan Sabah yang bersamanya, sukar untuk PN menjejak kaki ke tampuk kuasa negeri. Beliau bukan datang dengan tangan kosong,” tegasnya.
Menurut Aksyah, cadangan awal Hajiji menubuhkan GRS pada mulanya tidak disambut baik oleh pucuk pimpinan PN di Semenanjung kerana bimbang akan wujud satu lagi blok kuasa politik baharu di Borneo, selepas kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 2018.
“Wujud keengganan kerana mereka tahu, jika GRS berjaya, maka Borneo tidak lagi tunduk kepada acuan politik Semenanjung. Ini bukan soal menentang, tapi soal memperjuangkan kepentingan sendiri secara bermaruah,” katanya.
Beliau berkata, budaya politik Sabah tidak boleh terus bergantung kepada restu luar, kerana ia hanya melemahkan keupayaan rakyat tempatan untuk mentadbir negeri sendiri dengan bebas.
“Sudah tiba masa untuk Sabah dipimpin oleh parti yang bertapak di Sabah, bukan sekadar cawangan kepada kuasa politik luar. Itulah asas utama kewujudan GRS,” katanya yang juga Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah.
Mengulas rasional GRS menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan dan gabungan PH Plus selepas Pilihan Raya Umum ke-15, Aksyah menyifatkannya sebagai keputusan strategik demi memastikan kestabilan politik negeri terus terjamin.
“Kerjasama ini adalah manifestasi kematangan politik. PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberi ruang luas kepada Sabah dan mengiktiraf kedudukan GRS sebagai tonggak pentadbiran negeri,” ujarnya.
Beliau berkata, berbanding kerjasama terdahulu bersama Barisan Nasional, gabungan GRS-PH Plus terbukti membawa lebih banyak manfaat termasuk sokongan Persekutuan dalam pelbagai aspek pembangunan negeri.
“Kita dapat lihat pelbagai tuntutan Sabah mula diberi perhatian dan dilaksanakan. PMX tidak rasa terancam, sebaliknya melihat Sabah sebagai pelengkap kepada kestabilan negara menerusi Blok Borneo,” katanya.
Aksyah menyifatkan pendekatan Hajiji sebagai berhemah, tidak retorik, namun berjaya membawa hasil yang besar untuk negeri ini.
“Inilah seni politik Hajiji – tidak melawan secara terbuka, tetapi membawa Sabah keluar daripada cengkaman politik lama dengan hasil yang lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Aksyah menyelar kritikan pembangkang Sabah terhadap kerjasama GRS-PH Plus, menyifatkan mereka gagal memahami semangat perjuangan sebenar di sebalik Blok Borneo.
“Mereka mentertawakan GRS, tetapi gagal tampilkan penyelesaian. Mereka hanya main sentimen kosong. Hakikatnya, GRS masih berdiri utuh walaupun berdepan ribut seperti ‘Langkah Kinabalu’,” katanya.
Beliau menegaskan, selagi Sabah terus dipimpin oleh parti tempatan yang bebas membuat keputusan demi rakyat, negeri ini mampu bangkit lebih kuat dalam arus politik nasional.
“GRS bukan sekadar parti pemerintah. Ia simbol perjuangan untuk menentukan haluan sendiri. Dan kerjasama dengan PH Plus adalah pelengkap strategik bagi merealisasikan impian itu,” katanya.-pr/BNN