KENINGAU: Suasana malam di Dewan Kampung Mottou, Liawan, bukan sekadar menyatukan pemimpin dan rakyat, tetapi mencetuskan detik penuh makna apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, tampil menyampaikan amanat yang menyentuh hati penduduk setempat.

Dalam majlis yang berlangsung penuh mesra dan harmoni, Annuar menegaskan bahawa perjuangannya sebagai wakil rakyat bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya atas dasar amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat Liawan.

“Alhamdulillah dan syukur kepada Allah SWT, malam ini saya berkesempatan menyampaikan amanat kepada warga PDM Kampung Mottou. Amanat ini bukan sekadar ucapan, tetapi lahir dari kesedaran dan tanggungjawab bahawa amanah ini milik rakyat yang memberi kepercayaan,” katanya.

Dalam nada rendah diri, beliau menyatakan komitmennya untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat, memacu pembangunan infrastruktur luar bandar dan memupuk semangat perpaduan, khususnya di kawasan pedalaman seperti Kampung Mottou.

Annuar turut menekankan bahawa pembangunan yang mampan tidak boleh dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama erat semua lapisan masyarakat.

“Kita teruskan langkah ini bersama. Liawan tidak akan terurus tanpa rakyat yang prihatin, dan Liawan tidak akan maju tanpa semangat perpaduan yang kita bina bersama,” katanya.

Sambutan hangat dan kehadiran ramai penduduk malam itu menjadi bukti bahawa kepercayaan terhadap kepimpinan beliau kekal kukuh.

Kehadiran wakil rakyat ke kampung bukan hanya untuk menyampaikan amanat, tetapi juga untuk menyulam harapan dan mendengar suara akar umbi.

Majlis berakhir dalam suasana penuh keakraban dan keyakinan bahawa selagi ada pemimpin yang mendengar dan bertindak, suara rakyat tidak akan pernah dipinggirkan.-pr/BNN