KENINGAU: Sokongan padu akar umbi terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, terus membara apabila jawatankuasa STARSABAH di PDM Kukuangoh dan Bingkor sebulat suara mahu beliau kekal sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Sokongan itu bukan bersifat sementara, sebaliknya berakar daripada kepercayaan mendalam terhadap kepimpinan dan khidmat bakti Robert yang terbukti membawa perubahan ketara di kawasan luar bandar.

Ia turut selari dengan pendirian 13 Ketua PDM di seluruh DUN Bingkor yang sebelum ini menyatakan hasrat sama kepada pimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – bahawa Robert adalah calon terbaik untuk menjamin kesinambungan pembangunan di Bingkor.

“Beliau bukan sekadar wakil rakyat, tetapi pemimpin yang sentiasa hadir di sisi rakyat – turun ke kampung, ke kebun dan ke rumah panjang tanpa protokol,” kata Ketua PDM Kukuangoh, Dius Ongkalis Bounding.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang sebelum ini dianggap mustahil kini menjadi realiti hasil keprihatinan Robert, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan kampung, penyediaan kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur kecil yang menyentuh terus keperluan masyarakat.

Ketua PDM Bingkor, Taburou Sumping pula menyifatkan Robert sebagai simbol kepimpinan yang setia dan tidak pernah leka dengan kuasa.

“Beliau umpama bapa kepada rakyat Bingkor – siang malam, hari biasa atau cuti, beliau sentiasa bersedia turun padang. Pemimpin seperti ini wajib dikekalkan,” tegasnya.

Suara sokongan turut bergema daripada golongan belia dan wanita. Bagi mereka, Robert bukan sahaja mudah didekati, tetapi juga mampu menjadi jambatan antara generasi – membawa aspirasi anak muda dan kaum ibu ke peringkat pelaksanaan dasar.

“Jika dicalonkan semula, kami yakin beliau mampu menang dengan majoriti lebih besar,” ujar seorang ahli Wiramas dari PDM Kukuangoh.

Jelas sekali, mesej yang disampaikan akar umbi ini bukan gimik politik. Ia adalah isyarat jelas kepada pimpinan GRS dan STARSABAH bahawa Bingkor tidak perlukan calon baharu – mereka hanya mahukan pemimpin yang sudah terbukti berkhidmat.

Dalam landskap politik yang sering berubah, suara rakyat tetap kekal sebagai penentu. Dan suara itu kini lantang menyebut satu nama: Datuk Robert Tawik @ Nordin – pemimpin yang telah menabur bakti, membina harapan dan memenangi hati rakyat.-pr/BNN