KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus mengutamakan pembangunan pendidikan dengan memperuntukkan sebanyak RM1.33 bilion bagi pelbagai program dan inisiatif pendidikan sepanjang tempoh tahun 2021 hingga 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sebanyak RM848.26 juta telah dibelanjakan bagi pelbagai bantuan pendidikan, manakala RM485 juta lagi diperuntukkan khusus untuk pembangunan modal insan.
Menurutnya, bagi tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif baharu bernilai RM164.14 juta telah memberi manfaat kepada kira-kira 210,918 pelajar di seluruh negeri.
“Kecemerlangan akademik bukan hanya kejayaan individu tetapi aset penting negara. Kerajaan Negeri komited memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada akses pendidikan berkualiti,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Kali Ke13 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr.Haji Mohd.Arifin Datuk Mohd.Arif.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sabah pada 19 Mei tahun ini sebagai usaha menyelaras lebih 160 institusi latihan teknikal dan vokasional di seluruh negeri, selaras keperluan pasaran kerja masa hadapan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menyalurkan insentif tunai RM1,000 kepada 146 pelajar cemerlang STPM 2024, selain seorang pelajar Sabah yang berjaya di peringkat kebangsaan turut menerima ganjaran RM3,000 sebagai tanda penghargaan.
Hajiji turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan mutu dan infrastruktur pendidikan di Sabah.“
Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk berbincang demi memperkukuh pembangunan modal insan. Pendidikan kekal sebagai pasport utama masa depan anak-anak Sabah,” tegasnya.
Ketua Menteri turut menyeru semua warga pendidikan agar kekal komited dan bekerjasama secara muafakat dalam membentuk ekosistem pendidikan yang cemerlang serta menjadi contoh teladan kepada generasi akan datang.-pr/BNN