KOTA KINABALU: Istana Seri Kinabalu hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dengan insiden kematian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Tun Datu Mustapha, minggu lalu.
Dalam satu kenyataan rasmi, Istana menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas, bersifat fitnah dan amat tidak bertanggungjawab, selain boleh mencemarkan nama baik keluarga TYT.
“Istana Seri Kinabalu memandang serius penyebaran dakwaan palsu ini yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya, khususnya yang berunsur fitnah atau bersifat menghasut.
Difahamkan, kertas siasatan berhubung kes tersebut telah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah ke Bukit Aman untuk penelitian lanjut sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan susulan.
Kenyataan Istana turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang ramai juga diseru untuk merujuk perkembangan siasatan hanya kepada pihak polis atau Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengelakkan salah faham dan spekulasi.-pr/BNN