KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman menzahirkan komitmen untuk membantu meringankan beban seorang mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian di Kampung Mottou, di sini, Rabu lalu.
Mangsa, Puan Nomie Intai, yang juga mantan Ketua Kampung Mottou, kini menumpang di rumah adiknya, Julius Intai, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2.42 petang.
“Kita akan usahakan apa yang patut untuk beliau ini,” katanya ketika mengadakan kunjungan prihatin ke kediaman sementara mangsa, semalam.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, sebagai tanda solidariti dan sokongan komuniti setempat terhadap keluarga mangsa.
Annuar yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) menyifatkan kejadian itu sebagai satu ujian yang memerlukan kekuatan dan sokongan daripada semua pihak, sambil menekankan pentingnya langkah keselamatan kebakaran di kawasan kampung yang padat.
Insiden kebakaran itu menerima maklum balas segera daripada Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas menerima panggilan kecemasan menerusi talian MER999. Seramai 28 anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerahkan ke lokasi kejadian, kira-kira dua kilometer dari balai.
Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke tiga struktur berhampiran. Kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 3.38 petang dan operasi ditamatkan pada jam 5.49 petang. Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Menurut Annuar, sentuhan keprihatinan pemimpin bukan hanya ketika waktu senang, tetapi lebih bermakna saat rakyat berdepan musibah.
“Di celah kehilangan, kasih dan sokongan membawa kekuatan,” katanya.-pr/BNN