KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan peranannya sebagai hab inovasi serantau apabila menjadi tuan rumah kepada pertandingan antarabangsa Global Innovation Competition: ACE WAR yang berlangsung selama dua hari di Dewan Pascasiswazah universiti itu.

Pertandingan yang menghimpunkan penyertaan pelajar dari dalam dan luar negara itu memberi tumpuan kepada penyelesaian inovatif berasaskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus membuka peluang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat serta idea kreatif masing-masing.

Program berprestij berkenaan dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Kediaman Antarabangsa Kingfisher (JAKMAS KKAKF), dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Pembangunan (CEDEC) UMS serta Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa, yang turut menekankan pembangunan lestari berasaskan STEM sebagai teras utama.

“Usaha sebegini bukan sahaja mencungkil bakat muda, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian, industri dan komuniti dalam membentuk ekosistem inovasi yang mampan,” katanya.

Pertandingan itu menyaksikan peserta dari Malaysia dan Indonesia bersaing secara sihat dengan kemenangan berpihak kepada Danuja A/P Anmbalagan dari Universiti Sultan Zainal Abidin yang dinobatkan sebagai juara. Tempat kedua dimenangi kumpulan EAI Team dari UMS, manakala tempat ketiga diraih Sandi Pamungkas dari Universitas Pertamina, Indonesia.

Penganjuran ACE WAR turut melibatkan penglibatan aktif pelajar sekolah rendah dan menengah, termasuk 33 pelajar dari SK Topokon, 11 pelajar dari Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah serta sembilan pelajar dari Maktab Nasional.

Dua ceramah utama turut diadakan sepanjang program, iaitu “Innovation: From Idea to Impact” oleh Pengurus Program SCENIC, Muhd Fariq Nordi dan “STEM for Sustainable Future” oleh arkitek teknologi dari Chumbaka Sdn Bhd, Ar. Ivan James Soo.

Selain itu, pameran teknologi interaktif yang disertai pemain industri dan institusi pendidikan seperti CelcomDigi, EINSTRONIC, Robot Wisdom, Politeknik Kota Kinabalu serta Popular Book Co. (M) Sdn Bhd, turut menarik perhatian pelajar dan pengunjung.

Menurut Pengarah Program merangkap Ketua Exco Akademik dan Kerjaya JAKMAS KKAKF, Siti Nur Fatinah Masrom, ACE WAR berjaya menjadi platform pemangkin kepada semangat inovasi dan kerjasama rentas sempadan dalam kalangan generasi muda.

“Kami amat menghargai komitmen semua pihak yang menjayakan program ini. Ia bukan sahaja memupuk semangat daya cipta, tetapi turut membentuk pelajar yang bersedia menghadapi cabaran masa depan berasaskan teknologi dan inovasi,” katanya.-pr /BNN