KENINGAU:  Penduduk Kampung Agudon berganding bahu membaiki jambatan gantung utama kampung mereka secara gotong-royong selepas ia rosak akibat hujan lebat baru-baru ini.

Usaha membaiki jambatan yang penting bagi pergerakan harian pelajar, warga emas dan petani itu mendapat sokongan segera daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman yang menyalurkan sumbangan peribadi bagi membeli bahan ganti dan keperluan logistik.

“Yang penting bukan jumlah bantuan, tetapi keikhlasan untuk bertindak segera. Bila pemimpin dan rakyat berganding bahu, penyelesaian lebih cepat,” kata Annuar.

Penduduk tidak menunggu projek berskala besar sebaliknya terus bertindak berlandaskan semangat “mitatabang” – budaya gotong-royong tradisi masyarakat Dusun.

Pengerusi JKKK Agudon, Feraddi Gerou berkata, pendekatan pantas Annuar mencerminkan gaya kepimpinan yang memahami keperluan rakyat luar bandar.

“Kami terus mulakan kerja baik pulih secara mitatabang. Beginilah budaya kami – bersatu dan bertindak segera,” katanya.

Sebaik jambatan siap dibaiki, penduduk mengadakan jamuan potluck sebagai simbol kesyukuran dan perpaduan komuniti.

Inisiatif ini dilihat memperkukuh imej Annuar sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang menilai keperluan berdasarkan tindakan, bukan janji atau slogan.-pr/BNN