KOTA BELUD : Surau Kampung Saduk-Saduk bakal dinaik taraf dengan struktur konkrit lebih kukuh dan selamat hasil sumbangan bahan binaan daripada Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Mohd Lin Hj Harun.

Sumbangan berupa simen, pasir, batu dan besi itu diserahkan kepada Pengerusi Surau, Tuan Haji Dulamin Haji Sulaiman, sebagai langkah awal memperbaiki struktur surau kayu sedia ada yang uzur dan tidak lagi sesuai digunakan, terutama ketika cuaca buruk.

Mohd Lin yang juga Ketua Bahagian STARSABAH Usukan berkata, inisiatif itu sejajar dengan komitmen parti untuk memperkasa kemudahan rumah ibadah di kawasan luar bandar.

“Kami mahu semua komuniti dapat beribadah dalam suasana yang selesa dan selamat, tanpa mengira lokasi atau saiz kampung,” katanya.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan ialah Timbalan Pengerusi Surau, Sarbi Derak; Timbalan Ketua Bahagian STARSABAH Usukan, Iman Samar; AJK Bahagian serta penduduk kampung.

Penduduk menyambut baik inisiatif itu yang mencerminkan keprihatinan berterusan pimpinan STARSABAH terhadap kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.-pr/BNN