SELANGOR: Pasukan veteran The Reds Sabah (TRS) mencatat pencapaian membanggakan apabila mara ke separuh akhir kategori Grandmaster 60’s dalam Kejohanan 23rd RSC International Soccer 7’s 2025 yang berlangsung di Padang Royal Selangor Club.

Di bawah kendalian pengurus pasukan, Victor Disimon Simon, TRS menunjukkan semangat juang tinggi meskipun berdepan saingan sengit daripada pasukan tempatan dan antarabangsa.

Menerusi dua kemenangan dan satu seri dalam saingan awal Kumpulan A, TRS muncul naib juara kumpulan dan layak ke kategori Cup.

Di peringkat seterusnya, mereka tewas tipis 2-3 kepada Selangor All Star tetapi bangkit menewaskan STC 2020, sekali gus mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, cabaran TRS terhenti selepas tewas 1-3 kepada Rajpracha FC dari Thailand yang dibarisi bekas pemain kebangsaan negara itu, meskipun mendahului seawal minit pertama menerusi jaringan Bahrin Bahnan.

Walaupun kehilangan tonggak utama seperti Charles Tindi dan Paul Houpin akibat kecederaan, pemain seperti Edward Emin, Zainal Miun dan Jainus Lian tetap beraksi cemerlang sehingga tamat perlawanan.

Victor menzahirkan penghargaan atas semangat kental pasukan dan sokongan para penaja termasuk Datuk Hassan Nassip, Tuan Haji Hamdan Suarah, Datuk Kenny Chua, Stampool, Rolando Ahanggai dan Kelab Mimpagaat Tokou Sabah (KRMTS) yang turut diwakili beberapa pemain.

Kejohanan ini menghimpunkan pasukan veteran dari pelbagai negara dan kekal sebagai antara platform bola sepak sosial paling berprestij di rantau ini.-pr/BNN