KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan merangkap Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Annuar Ayub Aman, merasmikan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Daerah Keningau 1447H/2025 di Dewan Masyarakat Keningau, kelmarin.

Bertemakan “Membangun Ummah Madani”, majlis anjuran Pejabat Daerah Keningau dengan kerjasama agensi keagamaan dan komuniti setempat itu menghimpunkan ratusan peserta daripada pelbagai latar belakang bagi memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW.

“Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi perubahan menyeluruh – daripada kezaliman kepada keadilan, daripada ketakutan kepada keamanan, dan daripada perpecahan kepada perpaduan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau menegaskan semangat hijrah perlu dizahirkan melalui tindakan dalam pembangunan insan, pendidikan, pentadbiran dan kehidupan bermasyarakat berteraskan nilai murni serta prinsip Islam progresif.

Acara turut diserikan dengan ceramah agama, persembahan nasyid dan penyampaian penghargaan kepada tokoh masyarakat yang banyak menyumbang kepada pembangunan ummah di daerah ini.-pr/BNN