KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, merasmikan Dewan Terbuka Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Ulu Senagang sambil merakam penghargaan kepada penduduk atas sokongan padu sepanjang lima tahun beliau berkhidmat di kawasan itu.
Majlis yang dihadiri ratusan jemaat dan penduduk setempat itu turut diadakan sebagai tanda kesyukuran atas siapnya dewan terbuka baharu yang bakal dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Dalam ucapannya, Annuar menegaskan kemudahan ini adalah hasil kerjasama erat antara pemimpin, gereja dan masyarakat setempat.
“Terima kasih atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang lima tahun ini. Hubungan erat ini menjadi asas untuk kita terus membawa perubahan dan kemajuan di Liawan,” katanya.
Dewan terbuka berkenaan dijangka menjadi pusat kegiatan komuniti yang mampu merapatkan perpaduan penduduk pelbagai latar belakang.
Majlis turut diserikan dengan doa syukur, jamuan dan persembahan nyanyian koir gereja.-pr/BNN