KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk meneruskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang diadakan malam ini, dengan mengambil kira keberkesanan kerjasama tersebut dalam memastikan kestabilan politik di Sabah sejak ia dimeterai.
Setiausaha Agung GRS dalam satu kenyataan berkata, kestabilan politik yang wujud hasil kerjasama dengan PH membolehkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan, termasuk penyelesaian masalah kemudahan asas di negeri ini.
“Dalam masa terdekat, kepimpinan GRS akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan pimpinan PH bagi menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh parti masing-masing. GRS kekal dengan pendirian bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak utama dalam kerjasama yang dipersetujui,” katanya.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan juga menegaskan bahawa Majlis Tertinggi GRS tidak membincangkan atau menyentuh sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17 kali ini.-pr/BNN