KENINGAU: Sambutan Hari Sabah Peringkat Daerah Keningau yang berlangsung di Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Binaong, kelmarin, menjadi wadah memperkukuh ekonomi tempatan dan mengeratkan perpaduan komuniti.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, dan turut dihadiri Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Keningau, Rafie Datuk Robert.
Acara sambutan menyaksikan perasmian Gerai Harian & Tamu KPD serta penyerahan bantuan pembiayaan Program Peningkatan Pendapatan Nelayan & Usahawan Perikanan (Ko-Nelayan) Wilayah Pedalaman.
Rafie berkata penganjuran ini bukan sahaja meraikan Hari Sabah, malah menjadi platform menggalakkan sektor pertanian dan perikanan, memasarkan produk tempatan, serta menjana pendapatan penduduk.
“Pelbagai program diadakan termasuk jualan produk hasil tani, makanan dan minuman yang secara langsung merancakkan ekonomi setempat,” katanya.-pr/BNN