KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan merangkap Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Annuar Ayub Aman, hari ini menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Naimie Datuk Seri Panglima G.S. Sundang Gunsanad di kediaman keluarganya di Kampung Keningau.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Fred Toyong, dan Ketua Daerah Keningau, OKK Ramanus Micheal.
Upacara wake service dan doa akan berlangsung malam ini pada jam 7.45 malam di kediaman keluarga, manakala majlis pengebumian dijadualkan esok, 12 Ogos, bermula jam 8.30 pagi. Perarakan jenazah akan diadakan pada jam 9.30 pagi ke Tanah Perkuburan Anglikan, Kampung Mempikit, Jalan Tenom–Keningau.
Mendiang Naimie ialah anak bongsu kepada mendiang Datuk Seri Panglima G.S. Sundang Gunsanad, tokoh politik Sabah yang banyak berjasa dalam pembentukan landskap politik negeri.
Dilahirkan pada 23 Ogos 1909 di Kampung Bandukan Lama, Bingkor — antara perkampungan tertua di daerah itu — G.S. Sundang meninggal dunia pada 6 Jun 1996 pada usia 86 tahun dan disemadikan di tanah perkuburan Kampung Bandukan Lama.
Sepanjang kerjaya politiknya, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah pertama (1963–1975), terbabit dalam penubuhan parti United National Kadazan Organisation (UNKO) dan Pasok Momogun, selain menjadi antara pengasas Batu Sumpah Keningau — simbol janji bersejarah yang menjadi identiti perjuangan rakyat Sabah.
Atas sumbangan besar terhadap negeri, beliau dikurniakan pingat tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Penghormatan yang diberikan hari ini bukan sahaja mengenang pemergian mendiang Naimie, tetapi turut mengiktiraf legasi perjuangan keluarga G.S. Sundang yang kekal terpahat dalam sejarah pembangunan Sabah.