TENOM: Tradisi mamattu atau menganyam dalam bahasa Dusun Gana bukan sekadar menghasilkan perhiasan untuk perayaan, malah merangkumi pembuatan pelbagai barangan kegunaan harian seperti siraung/siung (topi anyaman), layag (tikar), perangkap ikan (ambong), pinaa, binsolud, buuh, sumpak dan siud.

Bagi menghidupkan kembali seni warisan ini, sebahagian ahli Persatuan Gana Sabah (PGS) kini giat menyiapkan kerja-kerja mamattu sulig bambu sebagai persediaan pameran sempena Festival Momogun bersempena Hari Orang Asal Sedunia 2025.

Acara berkenaan akan berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Ogos di Pusat Kebudayaan Murut, Tenom, dengan penganjuran Momogun National Congress (MNC) serta penyertaan pelbagai persatuan etnik dari seluruh Sabah.

Presiden PGS, Ahmad Razalie @Titus Andrew Selabin Sapawan berkata, penyertaan mereka dalam festival ini bukan sahaja menonjolkan keunikan seni anyaman tradisi masyarakat Dusun Gana, malah menjadi platform untuk memelihara khazanah budaya sambil memperkenalkannya kepada generasi muda serta pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Seni anyaman ini bukan sekadar warisan turun-temurun, tetapi juga lambang identiti dan kreativiti masyarakat Dusun Gana yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Festival ini dijangka menarik kehadiran ramai pelawat, sekali gus menyemarakkan lagi usaha memartabatkan warisan seni dan budaya masyarakat peribumi Sabah di pentas lebih luas.-pr/BNN