KENINGAU: Impian dua anak muda dari DUN Liawan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi mendapat suntikan semangat baharu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyalurkan sumbangan sebagai tanda sokongan dan dorongan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Operasi Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Mohamad Raihan Jinode, yang mewakili Annuar dalam satu majlis ringkas di Pejabat UPPM Liawan di sini.

Penerima pertama, Farahdiana Jusmin, akan mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kuching, Sarawak, dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Sumbangan diterima oleh ayahnya, Jusmin Usin.
Penerima kedua, Siti Syahliha Sumardi, pula bakal menuntut di Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sandakan dalam bidang Diploma Kejururawatan.
Menurut Annuar, setiap anak muda yang berusaha mencapai impian wajar diberikan galakan dan sokongan tanpa mengira latar belakang.
“Mereka adalah aset berharga yang akan membentuk masa depan Liawan. Pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran hari ini akan melahirkan generasi yang berdaya saing, berilmu dan mampu membawa perubahan,” katanya.
Katanya, langkah ini membuktikan bahawa kepimpinan berasaskan tindakan bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui keprihatinan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.-pr/BNN