RANAU: Ketua Menteri dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa majlis tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah bersetuju untuk mengekalkan formula kerjasama sedia ada dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri akan datang.

Beliau berkata sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah kerajaan negeri itu memerlukan hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengendalikan jentolak bagi menandakan majlis pecah tanah pembinaan bandar baharu Paginatan.

“Kita mahu hubungan yang erat dengan Kerajaan Persekutuan. Kita mahu kestabilan, dan kita berharap rakyat memahami bahawa kita sedang melakukan yang terbaik untuk mereka. Untuk membawa kemakmuran kepada mereka,” katanya pada majlis pecah tanah Projek Bandar Baharu

Paginatan di dewan terbuka Memorial Nunuk Ragang, dekat sini.Ketua Menteri itu berkata, rekod pencapaian Kerajaan Negeri GRS-PH dalam membawa kemajuan kepada Sabah telah terbukti.

“Kita mempunyai lebih 400 inisiatif di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan kira-kira 94 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan,” katanya.

Hajiji berkata perkara ini bertentangan dengan dakwaan pembangkang yang menurutnya bertujuan menipu rakyat.

Hajiji berkata, Kerajaan GRS-PH telah meluluskan pelbagai program bantuan untuk pembangunan pendidikan negeri dan kesejahteraan rakyat, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini.

“Tahun ini sahaja, kita memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar, dan inisiatif ini akan diteruskan jika rakyat mengembalikan mandat kepada GRS-PH pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri GRS-PH telah berjaya mendapatkan penyertaan yang lebih besar dalam sektor minyak dan gas melalui pemeteraian bersejarah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada tahun 2021.

Terdahulu, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) komited meneruskan agenda menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar di negeri ini melalui program pembangunan bandar baharu.

Beliau berkata, projek Bandar Baharu Paginatan yang telah lama dinantikan dijangka akan memacu ekonomi tempatan di kawasan itu, selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang pada intinya sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Bandar baharu seluas 200 ekar yang terletak kira-kira 43 km dari sini akan dibangunkan dalam lima fasa, melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan penting termasuk pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serba guna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba.

Apabila siap kelak, penduduk di Paginatan tidak lagi perlu ke Ranau atau Telupid untuk berurusan dengan jabatan kerajaan, katanya.

Hajiji juga memberi jaminan bahawa isu-isu yang dihadapi rakyat di kawasan DUN Paginatan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangannya, Datuk Abidin Madingkir, akan diberi perhatian.-pr/BNN