GUIYANG: Presiden Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau, membuktikan kewibawaan usahawan dari Borneo di pentas antarabangsa apabila dijemput sebagai penceramah utama Forum Bertaraf Tinggi Trade Connectivity and Global Expansion sempena Persidangan Usahawan Malaysia–China ke-15 di sini, baru-baru ini.

Persidangan yang berlangsung dari 12 hingga 14 Ogos itu menghimpunkan hampir 1,000 pemimpin kerajaan dan perniagaan dari Malaysia, China dan negara lain, menjadikan platform ini medan strategik untuk memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia–China serta integrasi serantau.

Lau, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), tampil dengan gaya penyampaian “dari hati ke hati” berkongsi pengalaman transformasi KTC daripada perniagaan tempatan kepada peneraju barangan pengguna (FMCG) serantau.

Beliau menekankan bahawa kejayaan global hanya tercapai melalui strategi jelas, disiplin pengurusan dan kepimpinan berterusan merentasi generasi.

Mengimbas pengajiannya di Wharton School, University of Pennsylvania, Lau mendedahkan bagaimana teguran seorang profesor bahawa beliau “belum bersedia” menjadi usahawan membuka mata untuk menyeimbangkan idealisme dengan realiti keuntungan, pulangan dan pertumbuhan.

“Pengembangan global bukan lagi pilihan, ia satu kewajipan. Kami di KTC melangkah ke hadapan bukan sekadar untuk memperluas pasaran, tetapi membina asas kukuh yang mampu bertahan hingga ke abad akan datang,” katanya.

Mewakili Sabah, Sarawak dan Brunei, Lau turut menegaskan potensi strategik Borneo dalam perdagangan serantau.

Dengan hanya 12 tahun sebelum KTC menyambut ulang tahun ke-100, beliau berhasrat membimbing kepimpinan generasi keempat keluarga Lau agar syarikat terus mencipta nilai untuk pemegang saham, pekerja dan masyarakat.

Beliau turut menekankan bahawa modal insan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah teras kejayaan jangka panjang, selain menggesa syarikat bertindak segera dalam empat bidang strategik – penyetempatan, teknologi digital, kerjasama strategik dan kelestarian – bagi mengekalkan daya saing global.

Ucapan beliau disambut tepukan gemuruh, mencerminkan pengiktirafan terhadap pandangan jauh dan kepimpinan pragmatik seorang usahawan Malaysia Timur di pentas dunia.

Kehadiran ibunya, Datin Lim Fook Len, bersama delegasi MCCC Sabah, menambah sentuhan mesra dan sokongan keluarga kepada lawatan rasmi itu.

Turut menjadi penceramah ialah Profesor Chen Xiaoyun, Pengerusi Lembaga Universiti Sains dan Teknologi Kuala Lumpur; Dato’ Ho Kwee Hong dari Eco World Development Group Berhad; Grace Kwok dari Allied Sustainability and Environmental Consultants Group Limited; Han Ruiguo dari Hisense Electronic Co., Ltd.; dan Profesor Huang Ying dari Universiti Guiyang. Sesi dikendalikan tokoh perniagaan veteran Malaysia, Datuk Tan Yee Boon.-pr/BNN