KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah meminta kerajaan memberikan sokongan menyeluruh bagi memperkasa pembangunan industri koko di negara ini.

Beliau antara lain mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif khas kepada pekebun koko, melabur dalam teknologi pemprosesan tempatan, dan menjadikan Sabah sebagai hab utama koko negara, termasuk dengan pembinaan pusat penyelidikan dan pemprosesan berteknologi tinggi.

Katanya, industri koko mampu menyumbang kepada sektor pelancongan makanan, memperkasa usahawan IKS dan membuka peluang pekerjaan tempatan.

“Pembangunan sektor ini mampu mengangkat Malaysia kembali ke peta pengeluar koko antarabangsa,” katanya ketika membahas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat kelmarin.

Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) berkata sektor koko memerlukan sokongan menyeluruh daripada kerajaan untuk berkembang, sekali gus memberikan pulangan ekonomi berimpak tinggi.

“Pelaburan besar dalam sektor koko bukan sekadar strategi pertanian, tetapi satu langkah ekonomi penting kerana ia berpotensi meningkatkan eksport dan pendapatan pekebun serta merangsang pertumbuhan industri berasaskan coklat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Kerajaan meningkatkan peruntukan bagi penanaman semula pokok sawit tua – sekurang-kurangnya empat kali ganda dalam tempoh lima tahun.

Katanya, ia penting kerana pokok sawit berusia lebih 25 tahun tidak lagi produktif dan memberi kesan buruk terhadap pendapatan pekebun kecil.

“Kita harus sedar bahawa kelangsungan sektor sawit sangat penting kerana ia memberi sumbangan eksport bersih yang tinggi kepada negara.

“Kegagalan menangani masalah ini dari sekarang akan menyebabkan kejatuhan produktiviti dalam satu dekad akan datang,” katanya.

Mengenai industri getah, beliau menyeru agar satu pelan pemulihan industri getah nasional diwujudkan, termasuk skim galakan penorehan semula dan kerjasama lebih erat antara pekebun kecil dan industri hiliran.

Katanya, sebelum ini negara menjadi peneraju dunia industri getah, tetapi kini negara mengimport hampir RM7 bilion getah setiap tahun.

“Ini sangat ironi kerana banyak ladang getah masih wujud, namun terbengkalai kerana harga rendah dan kekurangan insentif,” katanya.

Matbali turut meminta kerajaan menyediakan mekanisme pengambilan pekerja asing yang lebih cekap dan telus bagi sektor perladangan.

Katanya, negara kini menghadapi kekurangan pekerja ladang, justeru kerajaan perlu menawarkan insentif dan latihan kepada warga tempatan untuk menarik minat mereka menyertai sektor ini.

“Saya juga menggesa agar dasar berkaitan pengambilan buruh asing disemak semula supaya tidak membebankan majikan dan dalam masa sama memastikan kebajikan pekerja dilindungi sepenuhnya,” katanya.-pr/BNN