KENINGAU: Impian penduduk Kampung Kikiran, Apin-Apin untuk memiliki ruang komuniti yang selesa akhirnya menjadi kenyataan apabila pembinaan Mini Dewan Terbuka di kampung itu diluluskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Projek berkenaan dilaksanakan melalui peruntukan khas ADUN Bingkor dan bakal menjadi pusat penganjuran pelbagai aktiviti masyarakat, termasuk gotong-royong, sambutan perayaan, mesyuarat, serta program kemasyarakatan yang mengeratkan hubungan silaturahim.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kikiran, Henly Bianus, berkata projek itu membuktikan keprihatinan wakil rakyat terhadap keperluan infrastruktur desa.

“Mini dewan ini bukan sekadar bangunan, tetapi simbol kemajuan dan perpaduan. Ia bakal menjadi nadi kebersamaan, menghidupkan semangat kerjasama dan memperkukuh keharmonian untuk generasi akan datang,” katanya.

Penduduk menyambut baik inisiatif tersebut yang dianggap sebagai kesinambungan usaha Datuk Robert mendengar dan bertindak demi kesejahteraan rakyat Bingkor, sejajar dengan slogan Bingkor Membangun Bersama Rakyat.

Apabila siap kelak, mini dewan ini bukan hanya berdiri sebagai binaan konkrit, tetapi menjadi “jambatan hati” yang menyatukan komuniti — meninggalkan warisan kerjasama dan kebanggaan yang akan dikenang sepanjang zaman. – pr/BNN