KENINGAU: Kesihatan pesara terus diberi perhatian apabila Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) Cawangan Keningau melaksanakan program saringan kesihatan menyeluruh di Dewan Jabatan Belia dan Sukan Keningau, hari ini.
Program yang mendapat kerjasama pegawai-pegawai Kesihatan Keningau itu merangkumi pemeriksaan tekanan darah, ujian gula darah, bacaan kolesterol, pengiraan indeks jisim badan (BMI), saringan penglihatan, sesi kaunseling kesihatan, nasihat pemakanan sihat, ceramah kesedaran penyakit tidak berjangkit, pameran bahan kesihatan serta sesi soal jawab bersama pegawai perubatan.
Naib Presiden PPKS Pusat, Tuan Haji Raisin, bersama Pengerusi PPKS Keningau, Encik Salehuddin Adiloh @ Tahir serta ahli jawatankuasa hadir memberi sokongan moral dan beramah mesra dengan para pesara.
Timbalan Pengerusi PPKS Cawangan Keningau, Puan Rozie Gitang, berkata program berkenaan memberi peluang kepada pesara memantau tahap kesihatan mereka secara percuma dan berkala.
“Kami menghargai usaha PPKS yang bukan sahaja menjaga kebajikan, tetapi memastikan kesihatan pesara sentiasa dipantau. Ia memberi semangat kepada kami untuk kekal aktif dan terus berperanan dalam komuniti,” katanya.
Encik Salehuddin turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan atas kebenaran penggunaan dewan serta menyatakan komitmen untuk menganjurkan lebih banyak program kesihatan pada masa hadapan.
“Kesihatan adalah aset paling berharga untuk kita terus menikmati kehidupan berkualiti,” katanya.
Inisiatif ini membuktikan PPKS Keningau bukan sahaja menitikberatkan kebajikan pesara selepas bersara, malah berusaha memastikan mereka kekal sihat, aktif dan sejahtera di usia emas-pr/BNN