KOTA KINABALU: Daerah Sipitang memerlukan sebuah Kompleks Kesihatan serba moden dan canggih, bagi memenuhi keperluan lebih 35,000 penduduknya, kata Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangannya itu dijadikan sebagai salah satu projek utama dalam agenda pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ini, katanya, penting dengan mengambil kira keluasan daerah Sipitang yang merangkumi 2,437 kilometer persegi, iaitu menyamai keluasan Negeri Melaka.

“Saya berharap agar cadangan saya ini diberi pertimbangan serius, sejajar usaha menaik taraf Hospital Sipitang sebagai hospital berpakar pada masa akan datang.

“Ini juga selari dengan kedudukan geostrategik daerah kami yang bersempadan dengan Labuan dan Sarawak, serta laluan antarabangsa Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia,” katanya membahas RMK13 di Dewan Rakyat kelmarin.

Matbali berkata beberapa Klinik Kesihatan yang ada di sekitar Sipitang, seperti yang terdekat di Sindumin (19.6km), Mendulong, Meligan dan paling jauh, Long Pasia (115 km) boleh menjadikan Kompleks Kesihatan itu nanti sebagai pusat rujukan pesakit-pesakit tanpa perlu dibawa ke Beaufort atau Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi isu pembinaan projek Pan-Borneo jajaran Sipitang-Beaufort, yang belum siap dan meminta Kementerian Kerja Raya untuk segera tampil menanganinya.

Katanya, progres pembinaan projek itu sangat perlahan dan tidak diselia dengan sebaik-baiknya.

“Jalan ini bukan lagi memudahkan, tapi sebenarnya telah menyusahkan, sehingga menjadi antara faktor penyumbang kepada beberapa kes kemalangan.

“Mengikut perangkaan rasmi, sebanyak 16 kes kemalangan dilaporkan di kawasan Pan Borneo jajaran Beaufort-Sipitang ini bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini saja, ketimbang 23 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyentuh projek naik taraf Jalan Mentulud dan Jalan Mendulong, yang belum dimulakan pembinaan walaupun khabarnya sudah diluluskan.

“Begitu juga Projek Naik Taraf Jalan Raya Kampung Mendulong ke Kampung Meligan…keadaannya masih seperti dulu,” katanya.

Isu lain turut dibangkitkannya termasuk keperluan tenaga elektrik di kawasan terpencil pedalaman seperti Kg Long Pasia, Long Mio, Meligan, Ulu Bole dan Iburu, yang masih menggunakan janakuasa.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meneliti dan memberi pertimbangan terhadap isu tiga serangkai di kawasan Parlimen Sipitang, iaitu banjir, hakisan tebing sungai dan mendapan muara sungai.

“Kejadian banjir sering berlaku di kawasan Pekan Sindumin, terutama di Kg. Skim Sindumin dan Tanjung Nipis sehingga mencapai ketinggian paras banjir 1.5 meter akibat limpahan Sg. Mengalong.

“Manakala kejadian hakisan tebing sungai semakin membimbangkan di beberapa kawasan sepanjang Sg. Padas di daerah Beaufort, terutamanya di Kg. Suasa, Mempagar, Lupak, Lubak Hilir, Bingkul dan Luagan.

“Sementara mendapan di muara Sungai Sipitang yang menyebabkan sungai semakin cetek dan sempit, sekali gus menyukarkan aktiviti pelayaran selain menyumbang kepada kekerapan kejadian banjir,” katanya.-pr/BNN