KENINGAU: Suasana hening menyelubungi kediaman rasmi mendiang Naimie DSP. GS. Sundang di Taman Kali di sini, semalam, apabila warga Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) DSP. GS. Sundang hadir bagi menzahirkan rasa simpati dan penghormatan terakhir.

Ziarah kasih itu diketuai Pengetua SAANS, Puan Rozie Gitang, bersama barisan guru sekolah berkenaan yang hadir bagi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. Turut bersama ialah Pegawai Perhubungan Parlimen P.180, Tuan Erick Takun dan Ketua Anak Negeri (KAN) Lee Ah Meng yang mewakili Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan.

Puan Rozie menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar kepada SAANS dan masyarakat Keningau.

“Kami amat terhutang budi kepada mendiang kerana memberikan keizinan penggunaan nama bapanya, DSP. Gunsanad Samson Sundang, sebagai nama rasmi SAANS yang pertama di daerah ini. Nama ini bukan sekadar gelaran, tetapi simbol perjuangan, warisan dan identiti masyarakat Anak Negeri Sabah,” katanya sebak.

DSP. Gunsanad Samson Sundang, tokoh pejuang dan sejarawan kelahiran Kampung Bandukan Lama, Bingkor pada 23 Ogos 1909, dikenang sebagai antara perintis penting dalam pembentukan Malaysia. Kampung kelahirannya yang juga kampung tertua di Bingkor turut melahirkan tokoh besar negeri, termasuk ibu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman.

Dalam arena politik, beliau pernah memimpin Parti Pasok Momogun dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah. Sepanjang hayatnya, beliau konsisten memperjuangkan hak-hak masyarakat Anak Negeri Sabah, mempertahankan tanah adat, serta memelihara warisan budaya.

Gunsanad Samson Sundang meninggal dunia pada 6 Jun 1996 pada usia 86 tahun dan disemadikan di tanah kelahirannya. Atas jasa baktinya, beliau dianugerahkan pingat tertinggi negeri, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Menurut Puan Rozie, jasa mendiang Naimie dan legasi keluarganya akan terus terpahat dalam sejarah pendidikan adat negeri ini.

“Pengorbanan keluarga mendiang bukan hanya pada nama dan sejarah, tetapi pada kesanggupan mereka memelihara warisan demi generasi masa depan,” katanya.

Majlis ziarah itu turut disertai doa dan penghormatan terakhir, melambangkan ikatan erat antara SAANS dan keluarga mendiang — satu hubungan yang melebihi sekadar sejarah, malah berakar pada kasih dan penghargaan yang akan terus hidup.-pr/BNN