KENINGAU: Suasana hening menyelubungi Masjid Ar Rahim di sini, apabila ratusan ahli keluarga, rakan dan penduduk setempat berkumpul dalam majlis bacaan Yasin, tahlil dan solat hajat bagi mengenang pemergian arwah adik Zara Qairina Mahathir, mangsa buli yang meninggal dunia baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan merangkap Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Annuar Ayub Aman, turut hadir memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa, sekali gus menyatakan pendirian tegas menentang budaya buli yang kian membimbangkan.
“Kita tidak boleh membiarkan tragedi seperti ini berulang. Keadilan untuk arwah adalah keadilan untuk semua,” tegas beliau.
Kehadiran beliau dalam majlis yang berlangsung pada Khamis lalu bukan sekadar memenuhi undangan, sebaliknya mencerminkan komitmen untuk bersama masyarakat dalam menuntut pembelaan dan memastikan pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya.
Arwah Zara Qairina, yang dikenali sebagai anak periang dan disenangi rakan sebaya, meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh komuniti. Pemergiannya menjadi amaran bahawa isu buli tidak lagi boleh dipandang ringan.
Majlis doa khas itu menjadi lambang solidariti masyarakat dalam memperjuangkan hak dan keselamatan anak-anak, dengan harapan tragedi sama tidak lagi berulang. Ingatan terhadap arwah akan terus menjadi pemangkin perubahan ke arah persekitaran yang lebih selamat dan berperikemanusiaan.-pr/BNN