KINABATANGAN: Pembangunan Bandar Baharu Seri Milian di Kinabatangan menjadi bukti nyata iltizam politik dan visi jelas Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah teraju Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam memacu agenda pembangunan menyeluruh di negeri ini.

Pemerhati politik tempatan pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan projek berimpak besar itu sebagai satu sejarah baharu buat Kinabatangan, sekali gus mencerminkan kesungguhan kepimpinan GRS melaksanakan perancangan di bawah kerangka Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Projek ini mungkin dipersendakan pembangkang sebagai sekadar ‘gula-gula pilihan raya’ kerana baru peringkat pecah tanah. Tetapi pepatah lama mengingatkan kita — jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aksyah yang juga mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, inisiatif membangunkan bandar baharu itu adalah kesinambungan pendekatan pembangunan seimbang di seluruh Sabah, termasuk sebelum ini di Sukau, Sook dan Paginatan, yang dilaksanakan berlandaskan dasar politik pembangunan.

Menurutnya, pembangunan wilayah seperti Kinabatangan yang luas dan strategik memerlukan sentuhan pemimpin yang benar-benar berorientasikan rakyat dan berpandangan jauh, bukannya kerajaan yang sekadar beretorik tanpa tindakan.

“Kerajaan hari ini bukan kerajaan N.A.T.O – No Action, Talk Only. Ia kerajaan tempatan tulen yang memegang autonomi, bebas menentukan halatuju sendiri, namun tetap mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan melalui kerjasama jujur bersama rakan seperti PH Plus,” ujarnya.

Beliau menegaskan, autonomi politik GRS membolehkan kepimpinan negeri bertindak mengikut keutamaan rakyat Sabah, dengan kerjasama berlandaskan keikhlasan, kejujuran, perpaduan dan kestabilan, bukannya sekadar perebutan kuasa.

Menyentuh dakwaan pembangkang yang melabel GRS sebagai liabiliti dan gagal, Aksyah menyifatkan ia sekadar “naratif tanpa kompas” yang bercanggah dengan realiti pencapaian semasa.

Katanya, rakyat Sabah kini telah “move on” daripada dominasi politik parti luar, malah semakin menolak parti yang kononnya berlabel tempatan tetapi lebih mengutamakan kepentingan pendatang luar berbanding anak negeri sendiri.

“Pembangkang di Sabah tiada misi dan visi jelas. Mereka hanya memainkan politik naratif dan fitnah untuk menafikan hakikat bahawa kerajaan sedia ada lebih stabil dan mampu menjamin masa depan Sabah,” katanya.

Sebagai anak jati Kinabatangan, Aksyah merakamkan penghargaan kepada Hajiji dan pimpinan GRS di Lamag kerana berjaya menarik pelabur yang akan memacu pembangunan daerah itu.

Beliau turut mengingatkan penyokong agar tidak leka dengan sokongan semasa, sebaliknya memperkukuh jentera, mempertingkat kesedaran rakyat dan menyediakan fakta tepat untuk menangkis serangan fitnah.

“Syukur kita tidak bergabung dengan parti yang pernah menggoncang kestabilan politik Sabah suatu ketika dahulu. Namun jangan pandang remeh lawan. Kemenangan hanya sah apabila keputusan undi rasmi diumumkan,” katanya.-pr/BNN