KENINGAU: Setiap kali guruh berdentum dan kilat memancar, keresahan mula menyelubungi penduduk Kampung Kauran dan kawasan sekitarnya.
Ini kerana limpahan air Sungai Kauran sering menenggelamkan jalan serta perkampungan, berpunca daripada sistem pembentung lama yang tidak mampu menampung aliran deras air.
Namun, episod cemas itu dijangka berakhir apabila laluan di KM133.95, Jalan Kota Kinabalu–Keningau–Tenom akan ditutup sepenuhnya mulai 18 Ogos ini bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan kekal yang menjadi penyelesaian jangka panjang.
Projek bernilai jutaan ringgit di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah itu bermula pada 9 Julai 2024 dan dijadual siap pada 7 September 2026.
Ia dilaksanakan hasil keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang membawa isu berkenaan ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga diberi keutamaan.
Menurut Annuar, peranan wakil rakyat bukan sekadar hadir ketika diperlukan, tetapi juga mendengar keluhan masyarakat, melihat sendiri kesulitan di lapangan dan memastikan penyelesaian dilaksanakan.
“Tindakan lebih bermakna daripada kata-kata. Jambatan ini bukan hanya menghubungkan laluan, tetapi menghubungkan harapan penduduk kepada kehidupan yang lebih selamat,” katanya.
Penutupan sementara jalan berkenaan dijangka memerlukan sedikit kesabaran daripada pengguna, namun laluan lencongan telah disediakan bagi memastikan pergerakan trafik tidak terjejas teruk.
Penduduk dan pengguna jalan raya menyambut baik projek ini yang disifatkan sebagai langkah besar menghapus ancaman banjir kilat, selain menjamin keselamatan dan kelancaran perjalanan.
Bagi sesetengah pihak yang sebelum ini meragui kepimpinan Annuar, projek ini menjadi bukti bahawa kesinambungan kepimpinan amat penting bagi kelangsungan pembangunan.
Pembangunan berimpak tinggi tidak wajar terhenti di pertengahan jalan, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan sehingga manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya.
Lima tahun mendatang akan menjadi tempoh penting menentukan hala tuju Liawan. Dengan rekod prestasi kerja yang terbukti, kesinambungan mandat kepada seorang pemimpin berjiwa rakyat dilihat sebagai pilihan terbaik untuk memastikan kawasan ini terus terurus dan maju.
Apabila jambatan ini siap kelak, ia bukan sekadar struktur besi dan konkrit di atas Sungai Kauran, tetapi simbol bahawa suara rakyat Liawan tidak pernah diabaikan — kerana ada pemimpin yang sudi mendengar, memahami, dan bertindak demi kesejahteraan mereka.-pr/BNN