KINABATANGAN: Daerah Kinabatangan memerlukan satu lembaran baharu pembangunan untuk rakyat di kawasan ini menikmati lebih banyak kemajuan yang dibawa oleh kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata atas sebab itu, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangka dengan jelas pembangunan untuk Sabah, termasuk di daerah ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lamag, Encik Johainizamshah Johari dan jemputan lain melakukan gimik pecah tanah Bandar Baharu Seri Milian, Kota Kinabatangan di Dataran Terminal Terbuka Kota Kinabatangan pada Jumaat.

Katanya, perancangan yang dibuat menerusi halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) itu merangkumi semua aspek seperti mengangkat ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

“Bermacam lagi pencapaian yang kita perolehi, tapi kadang-kadang kita hairan kerana ada sesetengah pihak tidak mengakui apa yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita ada rekod membantu rakyat dan mengangkat ekonomi rakyat melalui tiga bidang utama iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Bandar Baharu Seri Milian di Dataran Terminal Terbuka Kota Kinabatangan, disini, pada Jumaat.

Hajiji mengulangi beberapa rekod pencapaian kerajaan pimpinannya hari ini, termasuk membangunkan modal insan, memberi kesejahteraan kepada rakyat serta menambah hasil negeri menerusi minyak dan gas.

Katanya, hasil itu dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti bantuan RM300 sebulan selama setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 orang.

Beliau berkata, program Rumah Mesra SMJ juga ditambah kepada 40 buah setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di DUN Lamag dan Sukau untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat turut mengagihkan 100 mesin dialisis dihospital dan klinik kerajaan seluruh negeri bagi memberi rawatan percuma kepada pesakit buah pinggang.

“Kalau saya sebut semua mungkin lima jam tidak habis, tapi rekod inisiatif kita 400 lebih dalam SMJ, sehingga kini 94 peratus sudah dilaksanakan, tapi pembangkang pura-pura tidak nampak,” katanya.

Berikutan itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS meminta rakyat di DUN Lamag dan Sukau supaya membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Katanya, rakyat di kawasan ini perlu mengubah nasib mereka supaya tidak ketinggalan berbanding daerah lain.

“Hanya parti kerajaan yang boleh menyumbang kesejahteraan dan GRS ialah parti yang menjadi kerajaan pada masa ini. InsyaAllah kerajaan GRS akan tetap menjadi kerajaan selama satu penggal lagi selepas PRN nanti.

“Yang penting rakyat kita sokong, guna akal budi untuk membuat pertimbangan, jangan terlalu percaya media sosial yang lebih banyak fitnah dan bohong.

“Kita tidak mahu masyarakat kita begitu, kita mahu masyarakat kita positif, buat kerja yang baik untuk mencari rezeki yang baik dan mahukan kemajuan diri, keluarga serta masyarakat, bukan fitnah dan maki setiap hari,” katanya.

Sementara itu, mengenai projek bandar baharu Seri Milian di Kota Kinabatangan, Hajiji berkata ia bakal menjadi ‘game changer’ yang bakal membawa perubahan besar di Kinabatangan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Dalam hal lain, Hajiji yang ditanya pemberita mengenai soal calon PRN17, berkata perkara itu akan ditentukan parti apabila sudah tiba masanya.

“Tetapi biasalah pilihan raya, pasti bertanding antara satu sama lain. Sabah ini paling banyak parti di Malaysia, ada lebih 24 parti dan kita raikan demokrasi, siapa mahu bertanding, tanding,” katanya.

Sempena majlis itu, Hajiji turut menyerahkan sebanyak 255 geran deraf PANTAS untuk DUN Lamag melibatkan keluasan 582.426 hektar (1,439.21 ekar) kepada penduduk kampung, geran tanah Majlis Daerah Kinabatangan seluas 157.48 ekar dan 3 geran deraf  PANTAS DUN Sukau dengan keluasan 16.224 Hektar (40.09 ekar). – pr/BNN