KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menegur tindakan Pesuruhjaya PAS Sabah, YB Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang menyeru rakyat supaya mengenakan pakaian hitam pada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai tanda solidariti terhadap kes Allahyarhamah Zara Qairina.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan selepas mesyuarat pimpinan AMK Sabah tengahari tadi, pergerakan itu menegaskan bahawa tragedi kematian Zara Qairina adalah isu kemanusiaan yang perlu ditangani dengan penuh empati dan penghormatan, bukannya dijadikan alat untuk meraih kepentingan politik melalui simbol-simbol protes yang boleh mencemarkan suasana perayaan bersejarah negara.

Menurut AMK Sabah, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia merupakan detik keramat yang seharusnya diraikan dengan semangat patriotisme, kesyukuran serta kecintaan kepada tanah air. Hari tersebut katanya, perlu menjadi wadah untuk menyatukan rakyat di bawah panji negara, dan bukannya dijadikan medan mencetuskan isyarat politik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Walaupun begitu, AMK Sabah turut menzahirkan simpati dan solidariti kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina di atas kehilangan yang menyayat hati ini. AMK turut mengakui bahawa rakyat Malaysia mahukan keadilan ditegakkan sepenuhnya dalam kes berkenaan.

Dalam pada itu, AMK Sabah mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati menapis maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya, khususnya di media sosial. Penyebaran fakta yang tidak sahih, tegasnya, boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan kelancaran siasatan.

Sehubungan itu, AMK Sabah menyeru semua pihak memberikan sepenuh laluan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyempurnakan siasatan secara telus dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang tekanan luar yang tidak berasas.

AMK Sabah yakin proses siasatan yang sedang dijalankan akan menghasilkan keputusan yang adil dan sewajarnya buat Allahyarhamah Zara Qairina.

Pada masa sama, rakyat turut diseru agar terus memelihara semangat patriotisme dalam menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, tanpa mengorbankan keharmonian demi menuntut keadilan.-pr/BNN