KOTA KINABATANGAN: Majlis pecah tanah Projek Bandar Baharu Milian pada Jumaat lalu disifatkan sebagai detik bersejarah yang bakal mengubah landskap Kinabatangan daripada daerah luar bandar kepada pusat pertumbuhan baharu di Sabah.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lamag, Johainizamshah Johari, berkata projek mega itu bukan sekadar pembinaan infrastruktur, malah menjadi simbol kebangkitan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kinabatangan.
“Projek ini adalah lambang perubahan. Ia dirancang mengambil masa 15 tahun, namun saya yakin dengan kepakaran Sunmow Construction serta penggunaan teknologi moden, ia boleh disiapkan dalam tempoh 10 tahun.
“Kita mahu anak-anak Kinabatangan menikmati peluang pekerjaan dan pembangunan di tanah sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Pekan Kota Kinabatangan pada Jumaat.
Johainizamshah yang mengetuai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Lamag sejak 2023 menegaskan, walaupun tanpa peruntukan khas seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pihaknya tetap bekerja keras menunaikan amanah rakyat.
“Tiga tahun ini, kita buktikan bahawa walaupun tanpa keistimewaan, kita mampu membawa perubahan,” tegasnya.
Menurutnya, antara pencapaian yang direkodkan dalam tempoh tersebut termasuk; Menyelesaikan 255 permohonan tanah lama di DUN Lamag; Meluluskan 12 permohonan tanah di Pekan Kota Kinabatangan untuk diukur dan diberi geran.
Menuntaskan dua permohonan tanah Majlis Daerah Kinabatangan yang tertangguh sejak 1990-an, dengan salah satu geran diserahkan pada majlis tersebut; Mendaftarkan 222 individu termasuk pesakit terlantar, warga emas dan orang kurang upaya untuk menerima bantuan kebajikan, dengan 101 telah diluluskan.
Membawa masuk pelaburan baharu pada tahun 2024 dan menyiapkan 100 peratus fasa pertama pelan pembangunan Lamag.
“Kita mungkin dianggap kecil di mata sesetengah orang, tetapi kita telah membuktikan bahawa orang kecil mampu melakukan perkara besar untuk rakyat,” katanya.
Menurutnya, Projek Bandar Baharu Milian dijangka mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan, meningkatkan kuasa beli penduduk serta membantu mengakhiri kitaran kemiskinan.
Dalam jangka panjang, beliau optimis Kinabatangan berpotensi dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran dalam tempoh 20 tahun.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan negeri agar tidak mengabaikan keperluan asas penduduk kampung yang masih ketinggalan.
“Dalam kita mengejar pembangunan, jangan lupa Kampung Sangau dan Kampung Kulu-Kulu yang masih bergelap. Projek elektrik dan bekalan air bersih untuk dua kampung ini hanya memerlukan anggaran RM2 juta,” ujarnya.
Johainizamshah turut menggesa pembinaan mini kompleks sukan bernilai RM8 juta di Kinabatangan bagi memenuhi aspirasi golongan belia, selain menyeru rakyat, kerajaan dan pemimpin tempatan untuk bersatu hati memastikan kejayaan projek pembangunan yang telah dirancang.
“Kinabatangan Maju bukan mimpi, ia sedang kita bina. Lamag Makmur bukan janji kosong, ia sedang kita buktikan. Maruah rakyat bukan bahan kempen, ia nyawa perjuangan kita,” katanya penuh semangat. – pr/BNN